Agensi

Yamoussoukro (Ivory Coast): Sebuah pulau terapung di tengah tanjung Abidjan yang lengkap dengan dua kolam renang menjadi lokasi sesuai untuk berehat sambil menenangkan fikiran.

Dianggap pemiliknya, Eric Becker sebagai pulau syurga dan lokasi sempurna untuk bercuti.

Bagaimanapun, apa yang menjadikan pulau buatan dan mesra alam itu istimewa ialah, ia dibina di atas 700,000 botol.

Lelaki warga Perancis itu sebelum ini merancang memulakan perniagaan di Ivory Coast dengan membina sebuah kapal layar mewah pada 2012.

Namun, selepas melihat sampah dan botol plastik di sepanjang pantai di tanjung itu, dia merancang sesuatu yang berbeza.

Becker mengambil keputusan untuk membersihkan kawasan pantai daripada sampah berkenaan dengan membina sebuah pulau terapung seberat 200 tan lengkap dengan panel solar.


BECKER mengutip sampah untuk dijadikan pusat peranginan.

Ahli perniagaan itu mengambil masa enam tahun untuk mengumpul pelbagai jenis sampah termasuk botol, polisterin dan juga selipar untuk diuji sebelum dijadikan pulau berkenaan.

“Kami mengambil botol dan bahan terapung untuk membina pulau ini, tetapi pada masa yang sama kami perlu mengutip serta melupuskan sampah lain.

“Sebagai contoh beg plastik yang kami tidak gunakan mungkin ada kegunaan lain. Beberapa sampah lagi mungkin boleh dijadikan bahan bakar,” katanya.

Pulau terapung itu dibuka pada 2018 dan Decker berkata, dia akan terus mencari cara baru untuk membaiki pulau berkenaan, sekali gus menjadikan ia 100 peratus mesra alam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:03 PM