PEMBACA berita stesen televisyen Palestin menutup sebelah mata sebagai tanda solidariti terhadap Muath. FOTO Agensi
Agensi

BAITULMAQDIS: Kejadian seorang wartawan bebas buta sebelah mata akibat ditembak tentera Israel ketika membuat liputan bantahan di Tebing Barat, Jumaat, lalu, mencetuskan kemarahan seluruh dunia dengan wartawan serta aktivis mengongsikan gambar mereka dengan mata ditutup sebagai tanda sokongan.

Muath Amarneh, 35, ditembak peluru hidup ketika tentera Israel mahu menyuraikan penduduk Palestin yang membantah tanah mereka dirampas, lapor portal Middle East Monitor.

Ketika kejadian, Muath memakai rompi kalis peluru yang jelas menandakan dia anggota media, serta topi keledar.

Muath memberitahu AFP: “Tiba-tiba sesuatu mengenai mata, tetapi apabila disentuh saya tidak dapat merasa apa-apa. Saya terus tidak boleh melihat, mata saya hancur.”

Keluarga Muath berkata, doktor di Pusat Perubatan Hadassah memaklumkan mata Muath itu tidak dapat diselamatkan dan perlu dibuang.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan dengan kempen dalam talian menggunakan tanda pagar #muatheye #eyeoftruth serta #muathamarneh sohor kini susulan penyebaran video dan gambarnya dibawa dari tempat kejadian dengan darah meleleh dari mata kirinya.


MUATH buta sebelah mata ketika bertugas. FOTO Agensi

Penolong pengarang berita luar negara di National, Jack Moore memuat naik gambarnya dengan mata kiri ditutup ke Twitter bersertakan keterangan: “Mata kebenaran tidak dapat dibutakan. Hari ini puluhan wartawan Palestin memprotes penembakan Muath Amarneh yang buta sebelah mata.”

Pegawai Kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi berkata: “Kami akan terus menjadi saksi. Demi solidariti dan kasih sayang.”

Malah pembaca berita siaran televisyen Palestin turut menutup sebelah mata ketika buletin utama jam 9 malam, dengan gambar mereka dikongsikan wartawan bebas Yousef Alhelou.

Portal berita Mondoweiss memetik keluarga Muath mendakwa dia disasarkan penembak hendap, manakala wartawan yang turut berada di tempat kejadian berkata dia dibedil peluru yang melantun tanah.

Polis sempadan Israel menafikan Muath disasarkan, sebaliknya mendakwa cuma menggunakan ‘kaedah penyuraian tidak berbahaya’ dan wartawan itu secara tidak sengaja menjadi mangsa kerana terlalu dekat dengan penunjuk perasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:38 PM