PELAJAR universiti di Hong Kong nekad menggunakan saluran pembentungan sebagai jalan keluar. FOTO Agensi
Agensi

HONG KONG: Pelajar yang dikepung di universiti Hong Kong berusaha melarikan diri menerusi pembetung premis itu kerana bimbang polis akan menyerbu kampus berkenaan dan melepaskan tembakan seperti yang berlaku dalam tragedi di Dataran Tiananmen beberapa dekad lalu.

Puluhan aktivis di Universiti Politeknik Hong Kong membalut lutut dan tangan dengan plastik sebagai persediaan untuk merangkak menerusi pembetung bawah tanah yang berselirat dalam usaha melarikan diri dari situ.

Antara 100 hingga 200 pelajar dipercayai masih berada di kampus itu, pada hari ketiga sejak ia dikepung polis yang sedang berusaha masuk untuk bertindak terhadap bantahan prodemokrasi.

Kira-kira 600 orang menyerah diri pada lewat Isnin, 200 daripadanya budak yang disoal sebelum dilepaskan selain 400 dewasa yang ditahan dan kini berdepan hukuman penjara 10 tahun atas tuduhan merusuh.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata pada pagi Selasa. penunjuk perasaan kini hanya mempunyai satu pilihan iaitu menyerah diri dan berdepan tindakan undang-undang.


POLIS lengkap bersenjata berkawal di luar kampus. FOTO Agensi

Walaupun polis Hong Kong enggan mengatakan langkah seterusnya bakal diambil, beberapa komander pasukan itu sebelum ini berkata mereka tidak teragak-agak menggunakan peluru hidup jika keadaan semakin ‘tidak terkawal.’

Ini mencetuskan kebimbangan berulang kejadian Dataran Tiananmen pada 1989 apabila pelajar yang menunjuk perasaan secara aman ditembak mati oleh tentera China.

Puluhan ibu bapa pelajar terbabit kini berhimpun di luar kampus dengan harapan meletakkan tekanan terhadap pihak berkuasa untuk mengelak pertumpahan darah.

Seorang ibu berusia 50-an yang hanya dikenali sebagai Chan berkata, anak lelakinya berusia 18 tahun masih berada di kampus.

“Saya risau jika polis masuk menyerang, ramai yang akan cedera seperti ‘Tiananmen 2.0’ (kali kedua),” katanya.

Sementara itu, di kampus berkenaan, penunjuk perasaan dilihat mengalihkan penutup pembetung dan ada yang meninjau ke dalam terowong bawah tanah yang busuk itu susulan tersebar khabar angin mengenai segelintir pelajar yang berjaya meloloskan diri dari kampus berkenaan, yang dikepung polis bersenjatakan cota.

Wartawan AFP melaporkan melihat sekumpulan pelajar berlatih merangkak manakala satu lagi kumpulan saling berpeluk selepas bersetuju untuk tidak meneruskan perancangan melarikan diri itu.


SEBAHAGIAN pelajar mengalami hypothermia menerima rawatan. FOTO Agensi

“Orang di luar sana tidak dapat membantu kami. Jadi apa yang boleh kami buat?” kata seorang penunjuk perasaan kepada pemberita televisyen tempatan ketika bersiap sedia turun ke dalam pembetung.

Seorang lagi penunjuk perasaan yang memakai topeng gas dengan lengannya dibalut plastik filem lekap membawa lampu suluh dengan beg galas ketika turun ke dalam kawasan bawah tanah itu.

Pada lewat Isnin, puluhan pelajar berjaya melarikan diri dengan memanjat turun dari jambatan di kampus berkenaan menggunakan tali. Mereka kemudian menakik turun ke lebuh raya sebelum dilarikan menaiki motosikal yang sedia menunggu.

Jurucakap polis Hong Kong, Kwok Ka-chuen berkata, pihaknya belum memutuskan langkah untuk menghentikan ketegangan di universiti berkenaan tetapi masih mengharapkan penyelesaian secara aman.

Dia enggan mengulas sama ada pihak berkuasa merancang memotong bekalan elektrik dan air menjelang operasi akhir terhadap kampus berkenaan.

Pelajar memprotes di universiti berkenaan sejak hampir seminggu lalu, tetapi keadaan semakin buruk pada lewat Ahad selepas polis antirusuhan cuba menyerbu masuk sebelum dibedil bom napalm dan anak panah.

Ratusan pelajar yang panik dan keletihan cuba melarikan diri dari kampus pada pagi Isnin, tetapi dihalang dengan gas pemedih mata, peluru getah serta cota oleh polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 1:08 AM