PELABUHAN Vlaardingen.
AFP

THE HAGUE: Kru feri menjumpai 25 pendatang dalam kontena sejuk beku sebuah kapal yang berlayar dari Belanda ke Britain semalam.

Menurut perkhidmatan kecemasan, kapal kargo menuju ke Felixstowe itu berpatah balik ke pelabuhan Vlaardingen berhampiran Rotterdam, sebaik menemui pendatang yang bersembunyi itu.

Pendatang berkenaan diberi rawatan perubatan di pelabuhan manakala dua darinya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut kemungkinan menghidap hipotermia.

Penemuan itu berlaku sebulan selepas 39 warga Vietnam ditemui mati dalam trak sejuk beku di Britain.

“Beberapa orang ditemui di atas kapal dalam kontena sejuk beku, menyebabkan kapal terpaksa kembali ke pelabuhan.

“Seramai 25 orang dibawa keluar dari kapal, dua darinya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut manakala 23 lagi dihantar ke balai polis selepas pemeriksaan perubatan,” kata perkhidmatan kecemasan Rotterdam di Twitter.

Menerusi mesej awal yang diterima, tiada kematian pendatang dilaporkan.

DFDS Seaways, yang mengendalikan feri kargo berkata pendatang itu menaiki kapal menerusi lori treler, lapor akhbar De Telegraaf.

Pemandu trak berkenaan sudah ditangkap.

Kewarganegaraan pendatang belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 10:22 AM