LORI dimana 39 mayat warga Vietnam ditemui di Britain.
AFP

HANOI: Ahli keluarga 39 warga Vietnam yang ditemui mati dalam sebuah lori di Britain bulan lalu terpaksa mengambil pinjaman daripada kerajaan untuk membawa pulang sisa mayat orang tersayang mereka itu.

Kementerian luar Vietnam berkata, ia akan membantu membawa pulang abu atau sisa mayat mangsa terbabit, namun kosnya perlu ditanggung keluarga.

Kos membawa pulang abu dalam balang adalah AS$1,774 (RM7,400) manakala untuk sisa mayat di dalam keranda sebanyak AS$2,858 (RM11,900).

Keluarga mangsa terbabit yang kebanyakannya dari Vietnam tengah berkata, mereka sanggup berhutang semata-mata mahu membawa pulang sisa mayat orang tersayang hampir empat minggu selepas tragedi itu.

Le Minh Tuan, bapa kepada seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditemui dalam trak sejuk beku berkenaan pada 23 Oktober lalu berkata, keluarganya meminjam lebih AS$30,000 (RM125,000) untuk menghantar mangsa ke Eropah, dan kini mahu sisa mayatnya dikembalikan supaya dapat dikebumikan mengikut adat mereka.

“Kami hanya mahukannya kembali. Kami akan membayar apa saja harganya sekalipun terpaksa menggadai tanah atau rumah,” katanya.

Pandangan itu dipersetujui seorang wanita, Vo Thi Hong yang berkata keluarganya sanggup berhutang untuk mengebumikan abangnya Vo Nhan Du.

“Kami akan memikirkan kemudian bagaimana untuk membayar balik hutang itu,” katanya.

Amalan membakar mayat jarang dilakukan di Vietnam, tetapi kementerian luar menggesa keluarga terbabit bersetuju melakukannya untuk tujuan kepantasan, penjimatan kos dan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 10:28 AM