VARELA bersama isterinya Becky. -FOTO Agensi
Agensi

OKLAHOMA CITY: Seorang lelaki bertindak menembak mati isteri dan teman lelaki baru wanita itu selepas melihat pasangan berkenaan menaiki sebuah kereta.

Mail Online melaporkan, Yayo Varela Jr menembak isterinya, Becky Vescio dan teman lelaki mangsa di tempat letak kereta pasar raya Walmart di Duncan dekat sini, kelmarin.

Saksi memberitahu, Varela melepaskan sembilan das tembakan pada kenderaan yang dinaiki Becky dan teman lelakinya itu menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.

Varela kemudian maut selepas menembak dirinya ketika beberapa orang awam bersenjata menghampirinya.

Polis belum menyiarkan nama semua mangsa tetapi ahli keluarga mengenal pasti mereka sebagai Varela dan Becky.

Beberapa ahli keluarga memberitahu, tindakan Varela berpunca daripada masalah hubungan mereka dan pasangan itu mempunyai dua anak.

Bagaimanapun, jurucakap polis memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan motif pembunuhan itu masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:08 AM