KATYA kini hidup dengan gembira bersama beruang lain di sebuah zoo.
Agensi

NURSULTAN: Penderitaan seekor beruang grizzly dikurung dalam penjara di Kostanay, Kazakhstan selama 15 tahun berakhir apabila ia dibebaskan ke sebuah zoo baru-baru ini.

Beruang betina bernama Katya dihantar ke penjara pada 2004 selepas menyerang dan mencederakan manusia di kawasan perkhemahan dalam dua kejadian berasingan.

Menurut Daily Mail, pihak berkuasa mendapati tiada tempat sesuai untuk mengurung beruang itu dan terpaksa meletakkannya di penjara yang menempatkan 730 penjenayah berbahaya termasuk pembunuh.

Ia satu-satunya ‘banduan wanita’ dalam penjara yang menempatkan pesalah lelaki yang menjalani hukuman di bawah 25 tahun.

Katya dikurung dalam sel yang dilengkapi kolam dan dijaga dengan baik oleh banduan, tetapi tidak dibenarkan menerima pelawat seperti banduan lain.

Jurucakap penjara berkata, sebuah patung dibina bagi memperingati Katya yang kini menghabiskan sisa hidup di tempat yang lebih hampir dengan habitat semula jadinya.

“Kami sedih tidak dapat memberi beruang jantan untuk menemaninya,” katanya.

Ketua Pusat Rehabilitasi Abkshino, Valentina Dmitrienko berkata, Katya kini tinggal bersama beruang lain dan beruang jantan bernama Yashka menerimanya dengan baik.

“Yashka memeluk dan mencium Katya seperti dilakukan manusia. Kami semua gembira dan tersentuh melihat situasi itu,” katanya.

Tempat tinggal baru Katya terletak kira-kira 378 kilometer dari bandar Petropavlovsk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 12:37 PM