BUNGKUSAN berisi wang kertas ditemui penduduk Blackhall Colliery diserahkan kepada pihak polis. FOTO Agensi
AFP

LONDON: Sebuah kampung di Durham, timur laut England kini diselubungi misteri selepas beberapa ikat wang kertas sering ditemui ditinggalkan di tepi jalan.

Polis Durham berkata, sejumlah 13 bungkusan yang setiap satunya mengandungi wang berjumlah £2,000 (RM10,748) ditemui di tepi jalan di kampung Blackhall Colliery sejak lima tahun lalu.

Secara keseluruhan wang yang ditemui itu berjumlah £26,000 (RM139,728)

“Bungkusan ini sering ditinggalkan di lokasi yang mudah dilihat seperti di kaki lima sebelum ditemui orang awam yang menyerahkannya kepada polis,” kata jurucakap polis, John Forster.

Katanya, penemuan terbaru adalah pada Isnin lalu dan ia adalah yang kelima pada tahun ini.

Sejak itu timbul khabar angin kemungkinan ada penduduk yang pemurah sengaja meninggalkan wang itu untuk orang yang memerlukan.

Forster memberitahu, siasatan dan hebahan yang dibuat setakat ini gagal mengesan pemilik wang berkenaan.

Sikap penduduk di situ yang menyerahkan wang berkenaan kepada polis turut dipuji sehingga sebuah akhbar menganggap kampung itu sebagai yang paling jujur.

Beberapa penduduk memberitahu akhbar The Guardian, kemungkinan individu misteri yang meninggalkan wang itu adalah seorang jutawan.

“Mungkin ada seseorang yang ingin membantu penduduk yang susah di sini,” kata seorang penduduk.

Sama seperti perkampungan yang lain, penduduk di Blackhall Colliery bertungkus-lumus untuk mencari rezeki sejak aktiviti perlombongan dihentikan pada 1980-an.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:11 PM