Reuters

MELBOURNE (AUSTRALIA): New South Wales bergelut dengan tahap pencemaran udara terburuk hari ini disebabkan asap akibat kebakaran hutan berleluasa mencetuskan peningkatan pesakit hospital selain membahayakan pemandu.

Sydney, bandar paling ramai penduduk di negara itu, diselubungi jerebu teruk untuk hari keempat berturut-turut seterusnya tersenarai dalam 10 bandar utama dengan tahap pencemaran udara terburuk di dunia.

Cuaca yang lebih sejuk, sedikit sebanyak membawa kelegaan untuk bomba yang berusaha memadamkan puluhan kebakaran sejak beberapa hari lalu di empat negeri, malah kebanyakan daripada 7.5 juta penduduk New South Wales kini tidak lagi cuba menyelamatkan diri daripada api sebaliknya memilih duduk dalam rumah untuk mengelak udara berasap.

Datuk Bandar Bourke, Barry Hollman berkata: “Jalan raya lengang kerana orang ramai mengelak berada di luar.

“Saya keluar untuk memastikan penduduk selamat dan ada kawasan yang tahap penglihatan kurang 100 meter. Asap dan abu memenuhi udara.”


SYDNEY diselubungi asap tebal sehingga disenarai antara 10 bandar dengan tahap pencemaran terburuk di dunia. FOTO Reuters

Pencemaran udara di Bourke, yang terletak 800 kilometer ke barat laut Sydney, 15 kali lebih tinggi daripada tahap selamat dengan angin kuat menyebarkan campuran asap dan debu yang terkumpul susulan tiga tahun kemarau yang melanda Australia.

Jerebu tebal itu mengandungi partikel yang boleh diserap dalam darah, dan mengakibatkan tahap pencemaran terburuk pernah direkodkan di New South Wales.

Pihak berkuasa kesihatan berkata, 73 orang mendapatkan rawatan untuk masalah pernafasan sejak seminggu lalu, iaitu dua kali ganda jumlah biasa.

Pada satu peringkat minggu ini, Sydney disenaraikan di tempat kelapan oleh pemantau indeks kualiti udara bebas, Air Visual bagi bandar dengan pencemaran udara terburuk dunia, satu tangga di belakang Mumbai.

Kebakaran hutan mengakibatkan empat kematian dan memusnahkan lebih 400 kediaman sejak awal bulan ini. Kebakaran masih berlaku di New South Wales, Victoria, Australia Selatan dan Queensland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 9:52 PM