X
CALON prodemokrasi yang menang berhimpun di luar kampus Universiti Politeknik Hong Kong, semalam. FOTO Reuters
CALON prodemokrasi yang menang berhimpun di luar kampus Universiti Politeknik Hong Kong, semalam. FOTO Reuters
Reuters

HONG KONG: Demokrat Hong Kong menang besar dalam pilihan raya majlis daerah, seterusnya memberi tekanan untuk pemimpin bandar itu mendengar tuntutan prodemokrasi selepas enam bulan dibelenggu protes antikerajaan besar-besaran.

Calon demokratik di bandar dengan 7.4 juta penduduk itu memperoleh hampir 90 peratus daripada 452 kerusi majlis daerah.

Selepas waktu tengah malam, keputusan mula menunjukkan kemenangan besar demokrat walaupun berdepan calon kuat pro-Beijing seterusnya mencetuskan sorakan besar dan laungan ‘Bebaskan Hong Kong. Revolusi sekarang!’ di beberapa pusat undian.

Beberapa calon yang menang berkata, keputusan itu menggambarkan sokongan buat penunjuk perasaan antikerajaan selain dilihat mampu meningkatkan tekanan terhadap Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam dalam pada bandar itu berdepan krisis politik terburuknya sejak beberapa dekad.

“Inilah kuasa demokrasi. Inilah tsunami demokratik,” kata Tommy Cheung, bekas ketua protes pelajar yang memenangi kerusi di daerah Yuen Long berhampiran sempadan China.

Pengerusi Parti Demokratik, Wu Chi-wai berkata: “Keputusan pilihan raya tempatan ini menunjukkan kerajaan perlu berdepan tuntutan sistem yang demokrasi.

“Keputusan ini langkah pertama kami dalam perjalanan panjang ke arah demokrasi.”

Susulan itu, Carrie berkata, petang semalam, kerajaan menghormati keputusan pilihan raya dan berharap keadaan aman, selamat dan terkawal akan berterusan.

“Terdapat pelbagai analisis dan tafsiran berhubung keputusan berkenaan dan ramai juga berpendapat ia mencerminkan rasa tidak puas hati rakyat dengan keadaan semasa serta masalah dalaman masyarakat.

“Kerajaan akan mendengar pendapat rakyat dengan rendah hati dan memikirkannya dengan serius,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 7:13 AM