YULI Riswati
AFP

HONG KONG: Seorang pembantu rumah Indonesia diusir dari Hong Kong dipercayai kerana melaporkan mengenai bantahan berterusan di bandar itu, dengan penyokongnya menuduh pihak berkuasa mengambil tindakan bermotifkan politik.

Yuli Riswati yang pernah memenangi anugerah kerana penulisannya, ditahan 28 hari selepas gagal melanjutkan visanya sebelum diusir menaiki penerbangan pulang ke Surabaya pada petang ini, kata rakannya kepada AFP.

Kenyataan kumpulan penyokongnya menuduh jabatan imigresen Hong Kong ‘menyekat kebebasan bersuara dan hak Yuli untuk membantu pekerja Indonesia di Hong Kong.’

Seorang penyokong, Ah Fei memberitahu wartawan: “Imigresen menahan Yuli selepas liputannya mengenai bantahan antikerajaan dilaporkan media tempatan. Ini adalah penindasan politik.”

Jabatan imigresen enggan mengulas tetapi menegaskan sesiapa yang melanggar syarat dibenarkan berada di Hong Kong berdepan penangkapan, penahanan, pendakwaan atau pengusiran.

Sementara itu, peguam Yuli, Chau Hang-tung berkata, wanita itu terlupa memperbaharui visa selepas mendapat pasport baru, tetapi berusaha memohonnya ketika dalam tahanan malah majikannya turut mengesahkan masih ada kontrak dengannya.

“Ini tidak pernah berlaku, untuk imigresen menahan seseorang hanya atas alasan ini. Asalkan ada kontrak dan disahkan oleh majikan secara bertulis, visa akan diperbaharui tanpa masalah,” kata Pengerusi Perikatan Pekerja Pembantu Rumah Hong Kong, Phobsuk Gasing.

Yuli melaporkan mengenai protes berkenaan di akaun Facebooknya serta untuk portal berita bebas Indonesia, Migran Pros.

Tahun lalu, penulisannya memenangi Anugerah Kesusasteraan Taiwan bagi Migran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 6:53 PM