KAWALAN ketat anggota polis di Taman Tugu Negara Indonesia. FOTO AFP
Reuters

JAKARTA: Sekurang-kurangnya dua anggota tentera cedera dalam satu letupan dipercayai berpunca daripada bom asap di taman Tugu Negara Indonesia berhampiran Istana Presiden, Jakarta, kata polis hari ini.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) bagaimanapun tidak berada di kediaman terbabit ketika kejadian itu, kata jurucakapnya.

Menurut ketua polis Jakarta, Gatot Eddy Pramono, dua mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital.

Ketua tentera Jakarta, Eko Margiyono pula berkata, dua anggota terbabit sedang bersenam di taman itu sebelum terkena letupan.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada serangan itu berunsur agama namun Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai berdepan kebangkitan kumpulan militan sejak beberapa tahun lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 11:50 AM