AKITOSHI Okamoto. FOTO Agensi
AFP

TOKYO: Pesara berusia 71 tahun ditahan polis kerana menghubungi sebuah syarikat telefon sebanyak 24,000 kali untuk membuat aduan mengenai mereka yang melanggar kontrak, lapor media tempatan.

AFP melaporkan, Akitoshi Okamoto ditahan minggu lalu selepas dia membuat panggilan ke bahagian khidmat pelanggan syarikat operator telefon KDDI menerusi talian bebas tol dalam tempoh lapan hari.

Dia yang menggunakan telefon awam itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap syarikat terbabit selain menghina kakitangan khidmat pelanggan.

“Dia menuntut kakitangan KDDI memohon maaf kepadanya kerana melanggar kontrak. Dia turut meletakkan telefon beberapa kali sebaik membuat panggilan itu,” kata jurucakap polis.

Dia ditahan kerana disyaki menghalang perniagaan dengan cara penipuan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 1:40 PM