KAWASAN yang terjejas di kawasan penumpang di Legaspi City. Albay, selatan Manila. FOTO: AFP
AFP

MANILA: Dua maut di Filipina ketika negara itu dibadai Taufan Kammuri hari ini, yang menerbangkan bumbung rumah dan memaksa lapangan terbang antarabangsa Manila ditutup.

Menurut polis, seorang lelaki maut akibat ditimpa pokok tumbang manakala seorang lagi terkena sekeping kayu yang melayang, di tengah pulau Mindoro.

Seorang lelaki berumur 33 tahun cedera selepas terkena renjatan elektrik sewaktu sedang membetulkan bumbung rumahnya, semalam.


PEGAWAI syarikat penerbangan memegang kad memberitahu semua penerbangan terpaksa dibatalkan ekoran taufan Kamurri. FOTO: AFP

Pihak berkuasa masih menilai impak ribut namun sebuah lapangan terbang kecil tempatan rosak teruk, tiang elektrik tumbang dan rumah ranap.

Sementara itu, pengurus besar lapangan terbang, Ed Monreal memberitahu AFP bahawa, angin kuat mengakibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila terpaksa menutup operasinya.

Katanya, belum pasti bila penerbangan akan disambung semula, tetapi pihak berkuasa menganggarkan ia akan beroperasi jam 11 malam ini dan keputusan itu juga bergantung kepada keadaan cuaca.

Hampir 500 penerbangan dibatalkan dan pihak berkuasa memberi amaran kepada penumpang agar tidak ke lapangan terbang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:47 PM