GAMBAR dirakam pada November 2016 menunjukkan Nakamura di tepi terusan dibinanya di pinggir Jalalabad, Afghanistan. Gambar kecil, Nakamura bersama penduduk di Jalalabad pada 2008. FOTO Agensi
GAMBAR dirakam pada November 2016 menunjukkan Nakamura di tepi terusan dibinanya di pinggir Jalalabad, Afghanistan. Gambar kecil, Nakamura bersama penduduk di Jalalabad pada 2008. FOTO Agensi
Reuters

TOKYO: Penduduk Afghanistan yang dibantunya menggelarnya ‘Uncle Murad’ manakala usahanya menghijaukan kawasan tandus di pendalaman negara itu memberi faedah kepada hampir sejuta penduduk.

Tetsu Nakamura, doktor Jepun yang terbunuh dalam serangan di Afghanistan kelmarin, berusaha menjadikan negara Afghanistan yang tandus menghijau berikutan kematian berterusan kanak-kanak di klinik kendaliannya di kawasan pedalaman.

“Anda boleh mendengar kanak-kanak meraung di bilik menunggu namun apabila sampai ke sana, mereka sudah meninggal dunia.

“Itu yang berlaku hampir setiap hari. Mereka mengalami kekurangan zat yang teruk menyebabkan cirit-birit sudah mampu membunuh mereka.

“Saya terfikir, jika pesakit itu mempunyai air bersih dan makanan cukup, mereka akan selamat,” katanya dalam temuramah dengan televisyen NHK, Oktober lalu.

Nakamura, 73, terbunuh dalam serangan pihak dikenali yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaikinya bersama lima lagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalalabad, bandar utama wilayah Nangarhar.

Lima rakan sekerjanya itu terbunuh manakala Nakamura cedera parah sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk diterbangkan ke pusat perubatan tentera Amerika Syarikat di Bagram.

Dilahirkan di barat Jepun, Nakamura, 73, menyertai misi bekerja dengan klinik merawat kusta di Peshawar, Pakistan, pada 1984.

Beliau mula merawat pelarian Afghanistan yang membanjiri sempadan Pakistan ketika pencerobohan Soviet Union pada 1979 sebelum membuka klinik di negara itu pada 1991.

“Saya tidak mampu untuk mengenepikan rakyat Afghanistan,” katanya.

Kemarau buruk pada 2000 menyebabkan kliniknya dibanjiri pesakit, sebahagian besarnya kekurangan zat akibat tiada makanan menyebabkan Nakamura membina perigi sebelum memulakan terusan pengairan berdasarkan persamaan sungai di Afghanistan dengan Jepun.

Pada 2003, Nakamura menerima Anugerah Ramon Magsaysay yang juga digelar Nobel Asia.

Selepas enam tahun, terusan itu siap, dibina dengan tenaga manusia dalam suhu sehingga 50 darjah Celsius dan sejak itu, kira-kira 16,000 hektar kawasan tandus kembali menghijau menjadikan Nakamura tokoh dihormati di Afghanistan, malah awal tahun ini menjadi orang asing pertama dianugerah kerakyatan Afghanistan.

“Sebagai doktor, menjadi tanggungjawab saya menyembuhkan pesakit sebelum menghantar mereka pulang, sama seperti menghijaukan kembali padang pasir di pedalaman Afghanistan,” katanya kepada NHK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 11:44 AM