SEORANG anggota polis cuba melindungi orang awam ketika insiden berbalas tembakan. Gambar kanan: Pemandu UPS, Frank Ordonez, 27. FOTO Agensi
Agensi

FLORIDA: Empat orang maut selepas dua perompak barang kemas merampas sebuah lori penghantaran UPS bersama pemandunya, mencetuskan aksi kejar-mengejar dengan polis sejauh 40 kilometer sebelum berlaku pertempuran senjata api di tengah jalan raya yang sesak.

Dalam kejadian lewat Khamis itu, 19 anggota polis menyerbu lori berkenaan sebaik berhenti dan melepaskan lebih 200 peluru menyebabkan dua suspek terbabit maut, selain pemandu UPS berkenaan dan seorang awam yang berada dalam sebuah kereta berhampiran, lapor Daily Mail.

Mangsa yang maut belum dikenal pasti, namun menurut WFOR rakan pemandu terbabit menamakannya sebagai Frank Ordonez, 27, bapa beranak satu yang dilaporkan baru bertugas pada hari kejadian.

Ketua Polis Coral Gables, Ed Hudak berkata, kejadian berlaku selepas penggera senyap tercetus di sebuah kedai emas susulan rompakan jam 4.15 petang Khamis (waktu tempatan).

Perompak berkenaan merampas trak UPS yang kebetulan berada di situ dengan drama kejar-mengejar bersama hampir 40 anggota kecemasan turut dirakam dan disiarkan media tempatan secara langsung.

Suspek turut melepaskan tembakan terhadap polis ketika dikejar, lapor Miami Herald. Malangnya ketika itu waktu sibuk sudah bermula menyebabkan lori berkenaan terperangkap di jalan raya, kira-kira jam 5.30 petang. Polis kemudian menyerbu lori berkenaan dan melepaskan tembakan, lapor WPLG.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 10:38 PM