HASIL tanaman tiga petani habis. FOTO/ SCMP
Agensi

BEIJING: Tiga petani yang bermurah hati mengongsikan lobak ditanam dengan jiran mereka mengalami kerugian ratusan ribu yuan apabila ribuan orang datang mengambil sayuran berkenaan selepas berita tersebar kononnya ia diberikan percuma.

Tidak sampai beberapa jam selepas berita itu tular, ribuan orang datang menyerbu ladang petani terbabit di Diaowei, Hubei, tengah China, malah ada yang datang dari 120 kilometer jauhnya menyebabkan kesesakan kereta, motosikal dan van sehingga dua kilometer.

South China Morning Post melaporkan, ada juga yang sempat mengongsikan rakaman langsung di media sosial bersama lobak diambil dan mengajak sesiapa yang menyaksikannya turut datang mengambil ‘sayuran percuma’ itu.

Akibatnya, petani berkenaan kerugian 300,000 yuan (RM177,000) selepas 500 tan lobak diambil menyebabkan kebunnya ‘botak,’ lapor Chutian Metropolis Daily.

Seorang petani berkenaan, Xu Jiuge berkata: “Penduduk kampung memberitahu lobak kami lazat dimasukkan dalam sup lalu meminta izin mengambil sedikit. Sudah pasti kami tidak berkira kerana mereka jiran, tetapi entah bagaimana tersebar pula khabar angin mengatakan kami memberikannya percuma.

Katanya, dia menghubungi polis tetapi disebabkan orang terlalu ramai tiada apa-apa dapat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 10:12 PM