FOTO HIASAN
AFP

SHADNAGAR: Kumpulan hak asasi terkemuka India melancarkan siasatan terhadap polis yang menembak mati empat suspek pembunuh dan perogol bagi meredakan kemarahan orang ramai.

Insiden seorang doktor haiwan berusia 27 tahun dirogol dan dibunuh di Hyderabad minggu lalu mencetuskan bantahan di seluruh India menuntut keadilan untuk mangsa.

Polis menembak empat suspek terbabit selepas mereka merampas pistol milik polis ketika dibawa ke tempat kejadian.

Kematian suspek diraikan orang awam dan ratusan orang ke lokasi kejadian menaburkan kelopak bunga ke arah polis, manakala ahli politik, selebriti dan bintang sukan turut mengucapkan tahniah kepada polis di media sosial.

Susulan itu, sepasukan penyiasat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan melawat lokasi kejadian pada petang tadi selepas memeriksa mayat suspek di bilik mayat.

Suruhanjaya bimbang pembunuhan suspek akan menyampaikan mesej salah kepada masyarakat.

Namun, bagi bapa mangsa, kematian anaknya sudah terbela.

Siasatan itu dilancarkan susulan kematian seorang lagi mangsa rogol yang meninggal dunia selepas diserang dan dibakar ketika dalam perjalanan ke mahkamah di Uttar Pradesh semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:14 PM