SISTEM pertahanan udara Iron Dome milik tentera Israel. FOTO Agensi
AFP

GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan terbaru di Gaza pada awal pagi tadi beberapa jam selepas tiga roket dilancarkan dari wilayah itu ke negara berkenaan.

Pegawai Hamas memberitahu, jet pejuang Israel mengebom dua lokasi milik Briged Al-Qassam di utara Gaza dan satu di barat bandar itu.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kecederaan daripada kedua-dua pihak.

Pada malam tadi, pejuang Palestin di Gaza melancarkan tiga roket ke wilayah selatan Israel.

Tentera Israel memberitahu, semua roket itu dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome.

Serangan itu adalah yang terbaru sejak tentera Israel membunuh komander pejuang Palestin di Gaza pada bulan lalu yang mencetuskan perang dua hari yang membunuh 36 penduduk Palestin.

Pejuang Palestin di Gaza membalas dengan melancarkan 450 roket ke Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 10:03 AM