POLIS New Delhi berusaha menghalang orang ramai yang menyertai protes membantah kejadian mangsa rogol dibakar, semalam. - Agensi
Agensi

Lucknow:“Selamatkan saya. Saya tidak mahu mati. Saya ingin melihat mereka dihukum mati,” kata wanita 23 tahun, mangsa rogol di Uttar Pradesh, India, yang diculik dan dibakar hidup-hidup ketika dalam perjalanan ke mahkamah Khamis lalu untuk perbicaraan kes rogolnya.

Wanita itu yang tidak dinyatakan namanya meninggal dunia pada jam 11.40 malam di Hospital Safdarjung, News Delhi, Khamis lalu, akibat melecur 90 peratus tubuhnya dan mengalami kerosakan paru-paru.

“Dia berada dalam kesakitan yang amat sangat dan meminta kami menyelamatkannya,” kata seorang doktor.

Menurut laporan Gulf News, mangsa diseret ke satu kawasan oleh lima lelaki termasuk dua yang dikenal pasti sebagai perogolnya sebelum mereka membakarnya.

Wanita itu dilapor berjalan dalam keadaan tubuhnya terbakar ke kampung berhampiran bagi mendapatkan pertolongan, malah dia sendiri menelefon polis melaporkan kejadian itu.

Mangsa mengeluarkan kata-kata terakhirnya itu di hospital di Lucknow sebelum dia dikejarkan ke New Delhi termasuk mengenal pasti dua perogolnya sebagai penyerang, Shivam dan Shubham Trivedi.

Menurut Daily Mail, wanita itu memberi keterangan lengkap kejadian berkenaan dari katil hospital, termasuk dia ditikam dan dipukul sebelum dibakar.

“Mereka mengepung sebelum memukul kaki saya dengan kayu, menikam leher saya.

“Selepas itu mereka menyimbah petrol dan membakar saya,” katanya.

Kakak mangsa memberitahu BBC, beliau mahu dua lelaki itu dikenakan hukuman mati.

Dokumen polis menunjukkan mangsa membuat laporan kepada polis daerah Unnao pada Mac lalu, mendakwa diancam dengan senjata ketika dirogol pada 12 Disember 2018. Dua suspek itu dibebaskan mahkamah selepas membayar wang jaminan.

Kejadian mangsa dirogol dan dibakar itu adalah yang kedua minggu lalu, selepas doktor haiwan dibunuh sebelum mayatnya dibakar di Hyderabad, mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di New Delhi serta bandar lain.

Perangkaan kerajaan menunjukkan lebih 33,000 kes rogol atau 90 kes sehari berlaku di India pada 2017 dan tahun lalu. Yayasan Thompson Reuters menyenaraikan India sebagai negara paling bahaya di dunia kepada wanita.

Mahkamah hanya menyelesaikan 18,300 kes rogol pada tahun itu dan hingga hujung 2017, 127,800 kes masih tertangguh.

Antara kes rogol yang menggemparkan India ialah jururawat, Aruna Shanbaug, 26, diliwat dan dirogol atendan hospital di Mumbai pada 1973 sebelum mencekiknya dengan rantai anjing menyebabkan mangsa koma lebih 40 tahun sebelum meninggal dunia pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:25 AM