SPINNEY menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Connecticut. FOTO/AGENSI
AFP

Washington: Pelakon yang membawa watak Big Bird dan Oscar the Grouch dalam siri kanak-kanak Sesame Street selama lebih 50 tahun, meninggal dunia semalam pada usia 85 tahun.

Menurut kenyataan daripada Sesame Workshop, Spinney menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Connecticut selepas mengalami sejenis gangguan saraf dikenali sebagai ‘dystonia’, menyebabkan pergerakan otot sukar dikawal.

Pelakon itu bersara daripada Sesame Street tahun lalu, selepas memilih sendiri pengganti bagi membawa watak Big Bird dan Oscar, dua karakter berbeza yang sekian lama menghiburkan jutaan kanak-kanak.

Kedua-dua watak itu, seekor burung besar berwarna kuning dan raksasa pemarah yang tinggal di dalam tong sampah, hidup di dalam dunia penuh keajaiban hasil ciptaan pereka boneka, Jim Henson bersama rakan-rakan lain, Bert dan Ernie, Cookie Monster serta Kermit the Frog.

Spinner dalam satu kenyataan kepada The New York Times lama dahulu memberitahu, dia melakonkan watak Oscar the Grouch dengan mengambil inspirasi daripada seorang pelayan restoran yang biadab dan pemandu teksi di New York.

“Caroll ialah seorang artis genius yang memiliki penuh kasih sayang dan membantu membentuk Sesame Street sejak dari awal pada 1969 , selama lima dekad.

“Bakat dan hati luar biasa dimilikinya amat sesuai dalam membawakan watak seekor burung gergasi yang membawa kegembiraan kepada pelbagai generasi kanak-kanak seluruh dunia,” kata Sesame Workshop menerusi satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:40 AM