KERETA yang dirosakkan di sebuah kawasan kejiranan Palestin di Baitulmaqdis.
AFP

BAITULMAQDIS: Lebih 160 kereta sengaja dirosakkan dengan ditulis slogan anti Arab di sebuah kawasan kejiranan Palestin di Baitulmaqdis.

Menurut polis Israel, ia adalah satu kegiatan jenayah yang disyaki berniat jahat.

Kebanyakan tayar kereta di kejiranan Shuafaat di timur Baitulmaqdis itu ditoreh manakala slogan seperti ‘Arab = musuh’, ‘Tiada ruang untuk musuh di negara ini’ dan ‘Ketika orang Yahudi ditikam, kami tidak berdiam diri’ ditulis dengan cat merah.

Menurut polis, pihak berkuasa berterusan mencari suspek di lokasi berhampiran kejadian.

Penyiar tempatan Kann yang memetik pihak berkuasa tempatan mendedahkan, perbuatan vandalisme itu berlaku sekitar tengah malam ketika hujan turun dan pelakunya dikenal pasti sebagai penganut Yahudi.

Insiden itu meninggalkan ciri khas berupa ‘tanda harga’, eufemisme jenayah kebencian Yahudi yang secara amnya menyasarkan harta benda Palestin atau Arab Israel sebagai membalas dendam atas serangan nasionalis terhadap Israel.

“Tiga lelaki bertopeng menyelinap ke kawasan kejiranan pada awal pagi dan merosakkan tayar kereta di jalan utama,” kata Maysa Abu Khdair, seorang daripada penduduk yang keretanya turut dirosakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 10:18 PM