GAMBAR hiasan.
AFP

LUCKNOW: Polis India memberi perlindungan 24 jam dan berjanji untuk memberi lesen senjata api kepada ahli keluarga mangsa rogol yang meninggal dunia selepas dibakar sekumpulan lelaki ketika dalam perjalanan ke mahkamah.

Mangsa sempat memberitahu polis dua suspek perogol memaksa dia menarik balik laporannya sebelum menyerangnya bersama tiga lelaki lain di Uttar Pradesh minggu lalu.

“Kami sudah menghantar pegawai untuk melindungi adik-beradik mangsa serta meletakkan pasukan polis di kampung mereka,” kata Ketua Polis daerah Unnao, Vikrant Vir.

Beliau berkata, permohonan keluarga mangsa untuk mendapatkan lesen senjata api akan diluluskan secepat mungkin.

Perlindungan diberikan kepada adik-beradik mangsa susulan kemarahan orang awam terhadap kegagalan polis untuk bertindak terhadap kes serangan seksual di India.

Semua lima suspek termasuk dua suspek perogol yang menyerang mangsa sudah ditahan dan didakwa dengan pertuduhan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 10:21 PM