REMAJA perempuan mempelajari teknik mempertahankan diri di sebuah kem latihan di Kolkata, India. FOTO Reuters
Agensi

NEW DELHI: Seorang remaja 17 tahun di timur India yang dikurung selama lebih dua bulan dan menjadi mangsa rogol tunangnya dibakar hidup-hidup, hujung minggu lalu.

Menurut Daily Mail yang memetik media tempatan, dalam kejadian di Shantirbazar, Tripura, Jumaat lalu, remaja itu melecur 90 peratus tubuhnya dan jiran mengejarkannya ke Hospital Govind Ballabh Pant di New Delhi, namun mangsa meninggal dunia keesokannya.

Kejadian itu berlaku selepas doktor haiwan dirogol empat lelaki sebelum dibunuh, mayatnya dibakar manakala mangsa rogol dibakar hidup-hidup oleh dua perogolnya ketika dalam perjalanan ke mahkamah, minggu lalu.

Menurut jurucakap polis, Ajoy Rudra Paul, 23, sudah dua tahun menjalin hubungan dengan remaja itu selepas berkenalan melalui media sosial sebelum bertunang pada 28 Oktober lalu.

Menurut laporan media India, selepas bertunang mangsa sering tinggal di rumah Ajoy namun laporan Hindustan Times melaporkan, bapa remaja itu mendakwa anaknya diculik suspek dan sering dirogol suspek.

“Ajoy menuntut Rs50,000 (RM2,928) sebagai hantaran untuk mengahwininya dan bersetuju berkahwin pada 11 Disember selepas menerima bayaran pertama hantaran RS17,000 (RM996).

“Namun, Jumaat lalu, Ajoy dan ibunya, Anima membakar mangsa,” kata jurucakap polis itu.

The Times of India melaporkan, keluarga mangsa mendakwa, remaja itu yang dikurung sebagai tebusan dirogol suspek berkemungkinan bersama rakannya dan mereka membuat laporan polis namun tiada tindakan pihak berkuasa.

Menurut ibu mangsa, sehari sebelum kejadian, keluarganya menyerahkan Rs17,000 kepada ibu Ajay namun wanita itu tidak gembira dan memberi amaran supaya membuat bayaran penuh jika mahu anaknya kembali.

“Ketika di hospital, sebelum kematiannya, anak beritahu dirogol beramai-ramai berulang kali sejak dua bulan lalu dan berterusan didera kerana kami tidak membayar wang tebusan,” katanya.

Telegraph India melaporkan, Jumaat lalu, Ajoy menghubungi ibu mangsa mendakwa remaja itu cuba membunuh diri dengan membakar dirinya ketika dia berada dalam bilik lain.

Sebaik berita kejadian itu tersebar, orang ramai menyerbu hospital dan menyerang Ajoy bersama ibunya yang turut berada di hospital. Ajoy ditahan polis Shantirbazar.

The Times of India melaporkan, jurucakap polis, Jal Singh Meena berkata: “Suspek utama kes ini, Ajoy ditahan di hospital.

“Mangsa dibakar pada petang Jumaat dan siasatan masih diteruskan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 1:53 PM