NATALIYA Kuznetsova
Agensi

MOSCOW: Juara dunia bina badan wanita, Nataliya Kuznetsova tidak kisah memiliki badan yang lebih sasa berbanding suaminya kerana menganggap persefahaman dan sokongan paling penting dalam hubungan mereka.

Nataliya, 28, yang berasal dari Chita, tenggara Russia mula berjinak-jinak dengan sukan itu sejak berusia 14 tahun. Dia menjadi juara dunia armlifting 2014 dan angkat berat 2016.

Dia memiliki tubuh kecil ketika remaja namun hasil kerja keras, dia berjaya menjadi juara bina badan untuk wilayah Zabaykalsky Krai pada usia 15 tahun.

Dalam wawancara eksklusif dengan Golder’s News and Sport, Nataliya berkata, dia bertemu suaminya, Yusif Eyvazov, 42, kira-kira 10 tahun lalu sebelum mereka berkahwin.

“Saya tidak kisah jika ada yang berkata lengan saya lebih besar berbanding suami.

“Lebih penting dalam hubungan yang bahagia ialah kasih sayang, persefahaman dan sokongan,” katanya.

Menurutnya, ketika remaja dia hanya memiliki berat badan 40 kilogram berbanding beratnya sekarang, 90 kilogram dan tidak pernah bermimpi menjadikan sukan sebagai kerjaya.

“Jurulatih saya pertama di sekolah yang memberi galakan kepada saya untuk menyertai sukan ini.

“Dia sangat mempengaruhi masa depan saya,” katanya.

NATALIYA bertemu suaminya, Yusif Eyvazov 10 tahun lalu sebelum berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 2:06 PM