AL-Bashir menghadapi pelbagai tuduhan, termasuk rasuah. FOTO Reuters
Agensi

KHARTOUM: Bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun semalam, selepas didapati bersalah terhadap tuduhan pengubahan wang haram, antara beberapa tuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin yang berkuasa selama 30 tahun itu.

Al-Bashir yang digulingkan April lalu, selepas bantahan besar-besaran selama beberapa bulan yang muncul di mahkamah di Khartoum semalam, menghadapi tuduhan rasuah dan memiliki mata wang asing secara haram.

Kes semalam, berkaitan beg dipenuhi mata wang asing pelbagai negara bernilai lebih AS$130 juta (RM537 juta) yang ditemui di rumahnya.

Bekas presiden itu mengakui menerima AS$25 juta (RM103.4 juta) daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman namun tidak mengaku bersalah.

Beberapa hari lalu, al-Bashir, 75, turut disiasat mengenai pembabitannya dalam rampasan kuasa 1989 yang membolehkannya berkuasa dan menumbangkan kerajaan demokrasi.

Beliau digulingkan selepas tentera masuk campur menahannya dan sekarang ditahan di Kobar, penjara yang pernah menjadi pusat tahanan musuh politiknya.

Al-Bashir yang juga disiasat bagi kejadian pembunuhan penunjuk perasaan awal tahun ini, dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague kerana jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Darfur.

Meski pun waran tangkap antarabangsa dikeluarkan sejak 2009, al-Bashir tetap boleh mengunjungi beberapa negara dalam tempoh beberapa tahun lalu, termasuk negara Arab dan Afrika.

Sudan, antara 25 negara termiskin dunia, kini diperintah kerajaan awam sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 7:49 AM