PASUKAN penyelamat New Zealand kembali ke pulau gunung berapi itu hari ini tetapi tidak menemui dua lagi mayat ketika dalam pencarian. FOTO Reuters
Reuters

MELBOURNE: Angka kematian akibat letusan gunung berapi White Island pada Isnin lalu, meningkat kepada 16 orang.

Pasukan penyelamat New Zealand kembali ke pulau gunung berapi itu, hari ini tetapi tidak menemui dua lagi mayat ketika dalam pencarian.

Menurut pihak berkuasa, lapan anggota polis dari unit mencari dan menyelamat dikerah selama 75 minit ke sebuah kawasan dan berusaha mencari satu mayat berdasarkan maklumat diterima.

“Saya hanya boleh katakan, kami tidak menemui lagi mayat di kawasan berkenaan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Mike Clement pada sidang media, hari ini.

Polis berkata, pihaknya komited untuk mencari dua mayat berkenaan dan pasukan penyelam polis dan tentera menjelajahi perairan di sekitar pulau itu.

Pada Jumaat lalu, mayat enam mangsa berjaya dibawa keluar selepas pasukan tentera New Zealand dibawa ke pulau itu untuk mengenal pasti mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 1:13 PM