Reuters

MANILA: Pasukan penyelamat di selatan Filipina hari ini, melakukan pencarian ke atas mangsa yang masih hidup di sebuah pusat beli-belah, runtuh selepas gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang.

Menurut pegawai tindak balas bencana, lima mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan di Pusat Beli-Belah Southern Trade di Padada, sebuah bandar di pulau Mindanao terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat gempa, semalam.

GEMPA bumi yang melanda Padada. FOTO AFP

“Ia sangat menyedihkan dan peluang untuk menemui mangsa terselamat sangat tipis,” kata pegawai bencana serantau, Christopher Tan kepada CNN Filipina.

Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun terbunuh ditimpa tembok rumahnya runtuh akibat gempa berkekuatan 6.8 magnitud. Penyelamat turut menemui mayat dua wanita pada malam semalam juga susulan daripada gempa.

Menurut pegawai maklumat serantau, Francis Irag, jumlah mangsa cedera seramai 31 orang setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 10:38 AM