GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

KHOST: Sepuluh sekeluarga maut, hari ini, selepas kereta yang dinaiki secara tidak sengaja melanggar bom di tepi sebuah jalan ketika hendak menghadiri majlis pengebumian di timur Afghanistan.

Menurut sumber tempatan dan rasmi, mangsa dalam perjalanan di wilayah Khost dengan menaiki kereta wagon ketika letupan itu berlaku.

Menurut jurucakap gabenor Khost, Talib Mangal, mangsa sekeluarga itu termasuk lima lelaki, dua wanita dan tiga kanak-kanak.

“Mereka mahu pergi ke wilayah Logar bagi menghadiri majlis pengebumian,” katanya.

Jurucakap polis daerah Adil Haidar mengesahkan jumlah kematian dan maklumat kejadian manakala jurucakap tentera Nasrat Rahimi berkata, bom terbabit dipasang Taliban di tepi jalan.

Khost terletak di tenggara Kabul dan bersempadan dengan Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 9:21 PM