TIMBALAN Pendakwa Raya Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan.
TIMBALAN Pendakwa Raya Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan.
Agensi

RIYADH: Mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati terhadap lima orang kerana membunuh wartawan Jamal Khashoggi, 59, (gambar) tetapi dua pegawai kanan, termasuk pembantu kanan Putera Mahkota dibebaskan dengan alasan kekurangan bukti.

Timbalan Pendakwa Raya Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan, berkata: “Kami mendapati pembunuhan Khashoggi tidak dirancang.”

Menurutnya, timbalan ketua agensi perisikan Ahmed al-Assiri melaksanakan pembunuhan Khashoggi atas arahan pegawai kanan istana, Saud al-Qahtani.

Menurut kenyataan pendakwa raya, Qahtani turut disiasat namun tidak didakwa kerana ‘kekurangan bukti’ dan Assiri juga disiasat dan didakwa tetapi dibebaskan kerana alasan yang sama.

Kedua-dua mereka adalah penasihat kanan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman dan dipecat berikutan pembunuhan itu.

Khashoggi penulis dengan Washington Post dibunuh di Istanbul, Oktober tahun lalu. Mayatnya dipotong-potong oleh skuad 15 orang dalam Konsulat Arab Saudi dan tidak pernah ditemui.

Qahtani yang mengetuai pasukan kempen menepis kritikan terhadap Arab Saudi pelindung kepada Putera Mahkota. Dia tidak lagi kelihatan di khalayak ramai selepas pembunuhan itu.

Ejen perisikan, Maher Mutreb, yang sering mengiringi Putera Mahkota ke luar negara, pakar forensik Salah al-Tubaigy dan anggota pengawal diraja Fahad al-Balawi antara 11 orang yang dibicarakan.

Namun, tidak dapat dipastikan adakah mereka termasuk dalam senarai lima orang yang dihukum mati itu.

Menurut kenyataan Shalaan itu, tiga lagi dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 11:53 AM