RAKAMAN polis menyiasat kejadian dua remaja perempuan yang maut dihempap lelaki bunuh diri.
RAKAMAN polis menyiasat kejadian dua remaja perempuan yang maut dihempap lelaki bunuh diri.
Agensi

BEIJING: Dua remaja perempuan maut dihempap seorang lelaki yang terjun dari bangunan tinggi untuk membunuh diri, kata polis.

Dalam kejadian di Shapingba, Chongqing pada Selasa lalu itu, dua remaja malang berkenaan dikenali sebagai Zhang, 17, dan Huo, 15, yang berjalan pulang ke rumah masing-masing selepas kelas seni lukis, lapor Beijing News.

South China Morning Post memetik laporan berkata, lelaki dikenali sebagai Li, 31, yang melompat dari bangunan flat untuk membunuh diri dan menghempap mereka.

Jurucakap pihak berkuasa Shapingba mengesahkan tiga orang maut di hospital akibat kejadian itu. Menurut portal berita Asia One, punca Li membunuh diri masih disiasat.

Sementara itu, ibu saudara Zhang berkata, ini kali kedua ibu bapa mangsa berdepan kematian anak, apabila abang mangsa juga meninggal dunia ketika masih kecil.

“Anak sulung kakak saya meninggal dunia pada usia 10 tahun. Dia kemudian hamil dua bulan selepas kematian anak itu.

“Siapa sangka anak keduanya ini juga meninggal dunia pada usia yang terlalu muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 12:01 AM