IMEJ dibekalkan Pentagon menunjukkan lokasi markas militia Kataib Hezbollah di  Al-Qa'im, Iraq, yang dibedil tentera Amerika semalam. FOTO  Reuters
IMEJ dibekalkan Pentagon menunjukkan lokasi markas militia Kataib Hezbollah di Al-Qa'im, Iraq, yang dibedil tentera Amerika semalam. FOTO Reuters
Reuters

WASHINGTON/BAGHDAD: Amerika Syarikat mendakwa serangan udara terhadap kedudukan kumpulan bersenjata di Iraq dan Syria semalam, membalas bedilan roket kumpulan sokongan Iran, membunuh 25 orang.

Setiausaha Pertahanan, Mark Esper berkata, pesawat penggempur F-15 Eagles membedil lima sasaran Kataib Hezbollah, militia Syiah sokongan Iran yang dituduh Amerika melakukan serangan roket terhadap kedudukan tentera Amerika di Iraq tiga hari lalu, menyebabkan seorang kontraktor terbunuh.

Reuters melaporkan, sekurang-kurangnya 25 terbunuh dalam serangan udara itu dan sekurang-kurangnya 55 lagi cedera.

Menurut Pentagon, sasaran serangan ialah stor senjata dan pusat pemerintah dan kawalan yang digunakan kumpulan itu.

Jet terbabit membedil tiga sasaran di barat Iraq dan dua di timur Syria.

Amerika menuduh Kataib Hezbollah, cabang Tentera Popular Mobiliti Iraq (PMF), bertanggungjawab terhadap 30 serangan roket yang membunuh kontraktor awam Amerika dan empat tentera Amerika serta dua anggota keselamatan Iraq dekat Kirkuk, Iraq.

PMF ialah kumpulan utama separa tentera dianggotai militia Syiah sokongan Iran yang diserapkan dalam tentera Iraq.

Sementara itu, pemimpin kanan militia di Iraq memberi amaran akan memberi tindak balas tegas terhadap serangan berkenaan.

Pemerintah kanan Tentera Popular Mobiliti Iraq (PMF), Jamal Jaafar Ibrahimi, memberi amaran itu dalam kenyataan semalam.

Amerika menghantar 14,000 tentera tambahan ke Asia Barat sejak enam bulan lalu, berikutan ketegangan dengan Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 8:01 AM