SYDNEY: Krisis kebakaran di Australia dilaporkan memberi kesan buruk kepada alam sekitar sejak ia bermula September lalu, melenyapkan hampir 500 juta haiwan dan menjadikan glasier berubah ke warna hitam di New Zealand.
The Independent melaporkan, ahli ekologi dari Universiti Sydney menganggarkan sekitar 480 juta haiwan terbunuh dalam kebakaran itu, termasuk 8,000 koala.
Malah, kira-kira 30 peratus daripada koloni koala di New South Wales musnah sama sekali berikutan 10 juta ekar tanah terbakar di lokasi berkenaan.
Ahli ekologi, Nature Conservation Council, Mark Graham berkata, koala tidak mempunyai keupayaan untuk bergerak pantas menjadikan ia sukar menyelamatkan diri (daripada kebakaran).
“Api marak terlalu pantas sehingga menyebabkan kematian haiwan di dalam pokok. Namun, ketika ini masih terdapat kawasan yang masih terbakar menyebabkan kami tidak dapat menjumpai haiwan ini,” katanya.