SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook menyaksikan penyusutan pendapatan tahunannya kepada $11.6 juta pada 2019 selepas syarikat teknologi berkenaan merekodkan prestasi kurang baik berbanding 2018.
Cook yang menerima $15.7 juta pada 2018, dibayar gaji asas sebanyak $3 juta setahun, turut menerima bonus dan beberapa pampasan.
Pada tahun lalu, Cook menerima bonus mencecah $7.7 juta, yang dikira berdasarkan prestasi Apple selepas menjangkaui sasaran jualan sebanyak 28 peratus.
Menurut laporan yang difailkan Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti, ia berbeza pada 2018 di mana dia menerima bonus sebanyak $12 juta selepas Apple berjaya mencapai 100 peratus sasaran ditetapkan.
Pada tahun lalu juga Cook dilaporkan menerima manfaat tambahan bernilai $885,000 meliputi penjagaan keselamatan dan penggunaan jet peribadi.
“Selain gaji asas, Cook juga memiliki saham dalam Apple bernilai $113 juta sebagai manfaat jangka panjang,” katanya.
Selepas jualan iPhone merosot, Apple mula beralih kepada pendapatan dari kandungan dan perkhidmatan digital.
Apple merekodkan jualan sebanyak $260.2 bilion dan pendapatan operasi mencecah $63.9 bilion pada 2019.