PENUNJUK perasaan berkumpul di luar Trump International Hotel di Washington, DC, pada 4 Januari, bagi membantah serangan AS yang mengorbankan Soleimani.
PENUNJUK perasaan berkumpul di luar Trump International Hotel di Washington, DC, pada 4 Januari, bagi membantah serangan AS yang mengorbankan Soleimani.
AFP

WASHINGTON: Satu kumpulan mendakwa penggodam dari Iran berjaya menggodam laman web di bawah agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu dan memaparkan mesej untuk membalas dendam atas kematian Komander Tinggi Tentera Iran, Qasem Soleimani.

Laman web Federal Depository Library Program itu digantikan dengan laman bertajuk “Iranian Hackers!” dengan paparan imej pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan bendera Iran.

“Syahid bagi (Soleimani)... ganjaran kepada usaha berterusan bertahun-tahun”, menurut paparan di laman berkenaan.

Selain itu, ia turut memaparkan gambar Presiden Donald Trump.

Terdahulu, Trump memberi amaran keras bahawa AS mengenal pasti 52 sasaran di Iran dan akan menyerangnya ‘dengan cepat dan kuat’, jika republik itu menyerang aset atau rakyat AS.

Dalam ciapan di Twitter yang mempertahankan tindakan AS melancarkan serangan yang membunuh jeneral tentera Iran di Iraq, Trump berkata, angka 52 adalah simbolik kepada jumlah rakyat AS yang ditahan sebagai tebusan di Kedutaan AS di Tehran, selama lebih setahun, bermula akhir 1979.

Sebelum ini, Iran mahu menuntut bela selepas serangan roket oleh AS di lapangan terbang antarabangsa di Baghdad, mengorbankan Soleimani dan timbalan ketua pasukan tentera Iraq Hashed Al Shaabi.

Sementara itu, laporan sebelum ini menyebut kedutaan Amerika Syarikat menggesa semua rakyatnya untuk meninggalkan Iraq serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 11:30 AM