JHO Low. FOTO AGENSI
JHO Low. FOTO AGENSI
AFP

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low mengakui menjadi kambing hitam dalam skandal kewangan terbesar, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar harian Singapura, The Straits Times, Jho Low turut menafikan dia adalah perancang utama skandal berjumlah berbilion dolar itu.

“Saya menjadi sasaran mudah semua individu berikutan saya bukan ahli politik.

“Dakwaan mengatakan saya adalah 'mastermind' sememangnya tidak betul,” katanya yang bertindak sebagai penasihat tidak rasmi kepada 1MDB.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 38 tahun itu menggambarkan dirinya sebagai orang tengah yang diminta ‘membantu’ kerajaan Malaysia dan pihak di Asia Barat susulan hubungan baik dimiliki dengan ahli perniagaan asing terkenal dan beberapa pembuat dasar.

Jho Low bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu terbabit, sama ada beliau adalah rakyat Malaysia atau sebaliknya.

Katanya, kes 1MDB dan SRC turut membabitkan beberapa ahli perbankan antarabangsa, peguam, dan profesional bebas yang bertindak sebagai penasihat dan menyokong syarikat terbabit dalam proses dijalankan.

“Atas semua faktor itu, segala perhatian media dituju kepada saya berbanding pihak sebenar yang bertanggungjawab,” katanya.

Low sekali lagi menggambarkan dirinya sebagai orang tengah, iaitu individu yang ‘berkhidmat untuk manfaat kerajaan Malaysia dan membantu hubungan antara kerajaan’.

Beliau menggambarkan peranannya sebagai orang tengah kerajaan bagi membantu mewujudkan hubungan secara langsung atau tidak langsung dalam membantu Malaysia.

Ia termasuk rakyat Malaysia yang terkandas dalam krisis di Mesir untuk kembali dengan selamat melalui Arab Saudi dan pertambahan kuota haji.

Katanya, beliau membantu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi ketika di bawah pentadbiran Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 4:24 PM