PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. FOTO AFP
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. FOTO AFP
AFP

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjanji akan menyerang lebih hebat jika Iran cuba untuk membalas dendam atas pembunuhan komander tentera, Qasem Soleimani dan menggandakan ancaman untuk mengebom tapak kebudayaan Iran.

“Jika mereka membalas dendam, akan ada tindakan lebih besar,” kata Trump kepada pemberita.

Bercakap kepada pemberita di dalam Air Force One ketika perjalanan pulang ke Washington selepas menghabiskan percutian di Florida, beliau turut menegaskan AS akan mengenakan ‘sekatan lebih besar’ ke atas Iraq selepas undian di parlimen memihak tentera AS berundur dari berpusat di negara itu.

Tindakan itu bagi menambah ketegangan di Timur Tengah selepas pembunuhan tokoh terpenting dalam kerajaan Iran, dalam serangan dron berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad.

RIBUAN penduduk Iran  mengiringi  jenazah  Qasem Soleimani yang terbunuh dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat. FOTO AFP
RIBUAN penduduk Iran mengiringi jenazah Qasem Soleimani yang terbunuh dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat. FOTO AFP

Menerusi Twitter rasminya, Trump turut memaklumkan semua kenyataan media adalah pemberitahuan kepada Kongres AS akan bertindak dengan lebih keras jika Iran menyerang sebarang individu atau menjadikan rakyat negara itu sebagai sasaran.

“Notis undang-undang tidak diperlukan tetapi akan diberikan,” katanya menerusi Twitter.

Beliau bersuara selepas beberapa ahli politik serta pengamal undang-undang mengecam dan mengkritiknya kerana tidak memaklumkan kepada Kongres sebelum mengarahkan serangan dibuat ke atas Iran.

PENUNJUK perasaan membaling telur pada poster  Trump ketika perhimpunan di depan kedutaan AS membantah terhadap serangan yang membunuh  Qasem Soleimani di Iraq. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan membaling telur pada poster Trump ketika perhimpunan di depan kedutaan AS membantah terhadap serangan yang membunuh Qasem Soleimani di Iraq. FOTO AFP

Serangan terbabit berlaku beberapa hari selepas perusuh yang menyokong gerakan militan Syiah menyerbu kedutaan AS di Iraq pada sambutan ambang tahun baharu.

Beberapa ahli politik AS mempersoalkan apakah tindakan itu sudah diluluskan dan berkata, mereka tidak melihat keperluan mencukupi untuk serangan terbabit dilakukan.

Menurut Trump, serangan berkenaan dibuat kerana Soleimani mengarahkan rakyat AS di Asia Barat dijadikan sasaran serangan.

Sebelum itu, Iran mengeluarkan ganjaran berjumlah AS$80 juta (RM328 juta) untuk individu yang dapat membunuh Trump malah mengugut akan menyerang Rumah Putih.

PENDUDUK Iran membakar bendera Israel dan AS ketika perarakan pengebumian  Qasem Soleimani. FOTO AFP
PENDUDUK Iran membakar bendera Israel dan AS ketika perarakan pengebumian Qasem Soleimani. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:02 AM