Pihak berkuasa, pasukan penyelamat dan sukarelawan mengumpulkan barangan milik mangsa di lokasi kejadian. FOTO Agensi
Pihak berkuasa, pasukan penyelamat dan sukarelawan mengumpulkan barangan milik mangsa di lokasi kejadian. FOTO Agensi
By Reuters

IRAN menafikan pesawat Ukraine International Airlines yang terhempas hingga mengorbankan 176 penumpang dan anak kapal dibedil peluru berpandu.

Reuters melaporkan, penafian itu dibuat jurucakap kerajaan Iran, Ali Rabiei dalam satu kenyataan yang disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan hari ini.

"Semua laporan itu merujuk kepada perang psikologi terhadap Iran ... semua negara yang mana rakyatnya berada dalam pesawat itu boleh menghantar wakil.

"Kami menggesa Boeing menghantar wakilnya untuk menyertai proses siasatan kotak hitam," katanya.

Kelmarin, stesen televisyen tempatan Iran turut melaporkan pesawat pesawat terbabit yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran terhempas disebabkan masalah teknikal dan terbakar.

Namun, pemimpin negara lain terutama Britain, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) terus membuat spekulasi mengaitkan kejadian tragis itu berpunca daripada kesilapan Iran tersasar bedilan peluru berpandu.

Mereka mahu siasatan penuh dan telus dilakukan terhadap insiden terbabit.

Pada hari sama kejadian nahas itu, Iran melancarkan 22 serangan peluru berpandu ke pangkalan menempatkan tentera AS di Iraq.

Ia serangan pusingan kedua sebagai isyarat Iran membalas AS susulan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan udara AS berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 10:06 AM