GEMMA membuat profil menerusi media sosial sebagai remaja lelaki berusia 16 tahun. FOTO REUTERS
GEMMA membuat profil menerusi media sosial sebagai remaja lelaki berusia 16 tahun. FOTO REUTERS
Reuters

London: Wanita British yang menyamar sebagai remaja lelaki dan memperdayakan ramai gadis untuk menjalin hubungan seks dengannya, dipenjara lapan tahun.

Gemma Watts, 21, membuat profil menerusi media sosial sebagai remaja lelaki berusia 16 tahun.

November lalu, Watts mengaku salah atas tujuh pertuduhan membabitkan empat mangsa berusia antara 14 dan 15 tahun.

Bagaimanapun, polis percaya lebih ramai mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Pertuduhan membabitkan serangan, serangan seksual dan antun seksual.

Dia dikatakan akan memulakan antun seksual dengan tanda suka pada profil mangsanya di Snapchat atau Instagram.

Ia diikuti dengan panggilan manja seperti ‘Babe’.

Profil digunakan Watts memaparkan dirinya seperti budak lelaki yang menyukai fotografi dan papan selaju.

Lazimnya, dia menggunakan gambar dengan pakaian sukan yang longgar, rambut diikat dan disorok dalam topi.

Wanita itu akan memujuk remaja perempuan itu untuk bertemu dan sanggup menaiki kereta api untuk ke bandar yang menjadi tempat tinggal mangsa.

Malah, dalam sesetengah kes, dia turut memperdayakan keluarga mangsa selepas turut berjumpa dengan ibu bapa gadis berkenaan.

Ada juga mangsa yang tidak menyedari mereka diperdayakan sehinggalah dimaklumkan oleh polis yang menyiasat kes berkenaan.

Pihak berkuasa menjangka lebih ramai mangsa antara 20 hingga 50 orang akan tampil membuat laporan.

Watts, berhenti sekolah pada usia 16 tahun dan tinggal bersama ibunya di utara London.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 9:58 AM
Digital NSTP Subscribe