KAKITANGAN Wuhan Hygiene Emergency Response Team melakukan siasatan di Huanan Seafood Wholesale Market, Wuhan. FOTO AFP
KAKITANGAN Wuhan Hygiene Emergency Response Team melakukan siasatan di Huanan Seafood Wholesale Market, Wuhan. FOTO AFP
Reuters

London: Wabak pneumonia menyebabkan seorang maut dan menjangkiti 40 orang di China, yang dikaitkan dengan pasar makanan laut tunggal di pusat bandar Wuhan belum merebak setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan semalam mengesahkan wabak itu belum merebak ke kawasan lain.

Kluster jangkitan itu menimbulkan kebimbangan berlaku epidemik selepas China memaklumkan virus berkenaan jenis tidak diketahui, tetapi mempunyai kaitan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Menurut WHO, pasar makanan laut Wuhan yang juga hab pengangkutan domestik dan antarabangsa, kini ditutup dan tiada kes dilaporkan di lokasi lain sama ada di China atau peringkat antarabangsa.

“Bukti jelas menunjukkan wabak itu dikaitkan dengan pendedahan di sebuah pasar makanan laut di Wuhan, yang ditutup pada 1 Januari lalu.

“Di peringkat ini, tiada jangkitan dalam kalangan pekerja kesihatan, dan tiada bukti jelas berlaku jangkitan daripada manusia kepada manusia,” katanya.

Sementara, Suruhanjaya Kesihatan Majlis Perbandaran Wuhan dalam kenyataan berasingan semalam berkata, empat lagi pesakit sudah dibenarkan pulang, dan tiada kes baru dikesan sehingga Sabtu.

“Seramai 717 individu lagi yang dikatakan berhubung rapat rapat dengan pesakit sedang dipantau,” kata pihak berkuasa itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 3:36 PM