Machu Picchu. FOTO AFP
AFP

Lima: Enam pelancong, termasuk wanita Perancis, ditahan selepas didakwa membuang air besar di tapak warisan Peru, Machu Picchu.

Agensi berita tempatan Andina yang memetik ketua polis wilayah Cusco, Wilbert Leyva, melaporkan bahawa individu berkenaan disiasat kementerian awam berhubung kejadian itu.

“Mereka disiasat atas jenayah terhadap tapak warisan,” katanya.

Pelancong berkenaan ditahan pada Ahad lalu selepas renjer taman dan polis menemui mereka di kawasan larangan di sebuah kuil di tapak berkenaan.

Leyva berkata, pihak berkuasa menemui batu dengan kesan pecah dipercayai terkena dinding dan menyebabkan keretakan di lantai.

Pihak berkuasa budaya wilayah Cusco memberitahu bahawa najis manusia ditemui di Temple of the Sun.

Kumpulan pelancong itu terdiri daripada seorang rakyat Perancis, Brazil (dua), Argentina (dua) dan Chile (1).

Mereka berdepan dengan hukuman penjara empat tahun jika terbukti merosakkan tapak warisan Peru.

Sebahagian dari kawasan di kuil berkenaan ditutup untuk pelancong bagi tujuan pemuliharaan.

Machu Picchu meliputi tiga kawasan untuk pertanian, perumahan dan upacara keagamaan adalah tapak paling ikonik empayar Inca.

Empayar itu memerintah sebahagian besar barat Amerika Selatan, sebelum penjajahan Sepanyol pada abad ke-16.

Machu Picchu bermaksud ‘gunung tua’ dalam bahasa Quechua, penduduk asli di kawasan berkenaan, terletak di puncak pergunungan dan dibina ketika pemerintah Inca, Pachacuti (1438-1471).

Tapak itu ditemui semula pada 1911 oleh penjelajah America, Hiram Bingham. Ia diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 11:04 AM