Jeff Bezos. FOTO AFP
Agensi

SYDNEY: Manusia terkaya di dunia, Jeff Bezos mendermakan 1 juta dollar Australia (

(kira-kira RM2.8 juta) kepada mangsa kebakaran hutan di Australia, Ahad lalu.

Bagaimanapun, media Amerika Syarikat melaporkan bahawa jumlah itu tidak memadai dengan statusnya sebagai manusia terkaya dunia.

Usaha murni turut disindir oleh warganet di media sosial yang menyifatkan angka itu terlalu kecil berbanding dengan kekayaannya.

Daily Mail melaporkan, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon itu menyumbang dana berkenaan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Australia, Pasukan Ketenteraan Australia, Pertubuhan Kebajikan Haiwan WIRES dan Perkhidmatan Bomba Kebangsaan dan Luar Bandar.

Bezos turut berkongsi mengenai perkara itu di Instagram miliknya dan mengajak pengikutnya untuk sama-sama menghulurkan sumbangan dengan membeli barangan keperluan di portal Amazon.

“Hati kami bersama dengan rakyat Australia yang terkesan dengan kebakaran itu.

“Amazon mendermakan 1 juta dollar Australia dan anda semua juga boleh membantu,” katanya.

Amazon menjalin kerjasama dengan kumpulan sukarelawan Australia Blaze Aid dalam usaha untuk mengajak pelanggannya menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Antara bantuan diperlukan kumpulan sukarelawan berkenaan dalam proses pemulihan pasca kebakaran itu termasuklah air, makanan, pakaian keselamatan dan bahan binaan.

Bezos menjadi manusia terkaya di dunia selepas mengatasi CEO Microsoft, Bill Gates.

Beliau tampil menghulurkan sumbangan selepas jutawan Australia, Andrew ‘Twiggy’ Forest menyumbang 70 juta dollar Australia (kira-kira RM370 juta) untuk membantu mangsa kebakaran berkenaan.

Sumbangan itu susulan kebakaran hutan terburuk di Australia sejak September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 11:33 AM