HASSAN Rouhani mahu individu bertanggungjawab berdepan hukuman. FOTO REUTERS
AFP

Tehran: Iran membuat penahanan pertama berkaitan kejadian tembak pesawat milik syarikat penerbangan Ukraine minggu lalu.

Jurucakap Gholamhossein Esmaili dalam sidang berita di televisyen berkata, badan kehakiman memaklumkan penahanan pertama itu namun, tidak menyatakan jumlah individu yang ditahan.

“Siasatan menyeluruh sudah dilakukan dan beberapa orang sudah ditahan,” katanya.

Pengumuman berkenaan dibuat selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata bahawa sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu perlu dihukum.

“Perkara paling utama adalah mereka yang didapati bersalah atau cuai perlu berdepan keadilan.

“Sesiapa yang perlu dihukum, mesti dihukum. Badan kehakiman perlu menubuhkan mahkamah khas dengan barisan hakim tertinggi serta puluhan pakar. Satu dunia akan melihat (pengadilan ini).

“Ia tidak mungkin membabitkan seorang saja (yang melepaskan tembakan). Pasti ada orang lain, dan saya mahu ini dijelaskan secara terperinci,” katanya.

Terdahulu, Iran mengakui menembak pesawat komersial Ukraine selepas didapati terbang berdekatan tapak ketenteraan milik Pengawal Revolusi negara itu.

Tentera Iran dalam satu kenyataan menerusi televisyen negara itu berkata, pesawat itu ditembak tanpa sengaja atas faktor kesilapan manusia.

Minggu lalu, pesawat Ukraine International Airlines dilaporkan terhempas berhampiran lapangan terbang antarabangsa di Tehran yang mengorbankan semua 176 anak kapal dan penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:00 PM