FOTO Hiasan
Agensi

Singapura: Seorang pembantu rumah warga Indonesia sanggup melakukan kerja terkutuk dengan mencampurkan air liur, air kencing dan darah haid ke dalam makanan serta minuman disediakan dengan niat untuk menundukkan majikannya.

Channel News Asia melaporkan, Diana, 30, turut mencuri wang tunai yang disimpan di dalam peti keselamatan majikannya, antara Ogos 2017 hingga Jun 2018.

Berikutan kesalahan itu, Diana didakwa di mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan satu minggu, Isnin lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Angela Ang memaklumkan mahkamah Diana percaya tindakannya itu mampu membuatkan majikannya menurut kata dan tidak memarahinya, jika melakukan kesalahan.

Diana yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukan kerana desakan hidup keluarganya di Indonesia.

“Saya ibu tunggal, mempunyai seorang anak dan ibu yang sudah uzur.

“Sudah dua bulan saya direman dan tidak dapat bekerja sepanjang tempoh itu,” katanya yang membuat pengakuan dengan bantuan penterjemah bahasa.

Menurut Diana, dia tidak pernah melakukan jenayah di negara asalnya dan memohon maaf kepada majikan atas kesalahan itu.

Diana berkhidmat sebagai pembantu rumah sejak 2017 dan bertindak mencuri wang majikannya selepas mengetahui kata kunci peti keselamatan.

Perbuatan wanita itu akhirnya dihidu majikannya yang membuat laporan polis pada Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 11:07 AM