Agensi

Dublin: Tangan dan kaki manusia ditemui dalam beg pakaian sukan di sebuah perumahan di utara Dublin, dipercayai milik remaja berusia 17 tahun dilaporkan hilang sebelum ini.

Mirror melaporkan bahawa polis Ireland menemui beg berkenaan di Moatview Gardens, jam 10 malam Isnin lalu.

Ia selepas beg berkenaan ditemui sekumpulan remaja yang melalui kawasan berkenaan.

Susulan itu, pihak berkuasa mengaitkan kejadian itu dengan laporan orang hilang membabitkan remaja dari Drogheda, County Louth.

Sementara itu, SkyNews melaporkan bahawa ada beberapa bahagian badan manusia di dalam beg berkenaan.

Laporan sama turut menyatakan bahawa pegawai forensik turut melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.

Sementara itu, pasukan polis melakukan siasatan lanjut di padang berhampiran.

Berdasarkan laporan media tempatan, bahagian badan dan kepala mangsa masih belum ditemui.

Sumber lain mendakwa bahawa pembunuhan itu berkait dengan persaingan antara kumpulan pengedaran dadah.

Menurutnya, remaja itu pernah diugut untuk dipotong bahagian badannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 12:02 PM