X
ORANG ramai menyalakan lilin bagi memperingati mangsa nahas pesawat Ukraine. FOTO Reuters
ORANG ramai menyalakan lilin bagi memperingati mangsa nahas pesawat Ukraine. FOTO Reuters
Agensi

Washington: Iran dijangka melancarkan serangan siber terhadap Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas pembunuhan komander kanan tenteranya, Qasem Soleimani.

AFP melaporkan penganalisis di AS percaya bahawa serangan itu akan dilaksanakan memandangkan Qasem dianggap sebagai orang kedua paling berpengaruh di Iran.

Bekas pegawai perisikan Pentagon, Jon Bateman berkata, serangan jenis itu paling senang dilakukan.

“Ia adalah contoh serangan yang dapat memberi impak terus di negara AS,” katanya yang kini bertugas sebagai felo polisi siber di Carnegie Endowment for International Peace.

James Lewis dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa pula berpendapat, serangan siber tidak akan mencabar tentera AS, secara langsung.

Bekas perisik tentera udara AS, John Dickson, pula berkata, semua pihak berhati-hati dengan serangan jenis itu.

Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump berkata, negara tidak berhasrat untuk berperang dengan Iran, selepas Tehran dikatakan ‘bertenang’.

Ia susulan serangan peluru berpandu Iran ke pangkalan menempatkan tentera AS di Iraq, sebagai tindak balas pembunuhan Soleimani.

Tidak berapa lama selepas serangan itu, Iran menembak jatuh pesawat komersial Ukraine menyebabkan 176 penumpang dan anak kapal, terkorban.

Tehran kemudian mengakui ia adalah kesilapan berpunca kecuaian manusia selepas pesawat terbabit dikatakan terbang berhampiran tapak ketenteraan Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 11:43 AM