DUA beradik perempuan meninggal dunia di Gujrat, Pakistan (gambar). FOTO Agensi.
Agensi

DUA beradik rakyat Britain ditemui maut dalam bilik air di sebuah hotel di Gujrat, Pakistan.

Maria Rehman, 25, and adiknya, Nadia, 17, sudah tidak sedarkan diri ketika ditemui dan segera dihantar ke hospital yang kemudian mengesahkan kematian mereka, menurut media tempatan.

Daily Mail melaporkan, kematian mereka didakwa kerana keracunan gas yang keluar daripada alat pancuran yang mempunyai pembakar untuk memanaskan air.

Maria dan Nadia berada di bandar di utara Pakistan itu bersama ibu bapanya untuk sambutan hari kematian datuk mereka.

Susulan kematian itu, siasatan dibuat dan laporan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, sebelum bedah siasat dilakukan.

Ibu bapa mangsa dilapor tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang dan menerima kematian itu sebagai kemalangan.

Difahamkan, tragedi itu berlaku pada 12 Januari lalu.

Sementara itu, wakil Pejabat Komanwel dan Luar Negeri Britain berkata, pihaknya berhubung dengan penguat kuasa tempatan mengenai kematian dua rakyatnya.

Pejabat itu juga menawarkan sokongan konsular kepada ahli keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 1:16 PM