DUA wanita memasuki Forbidden City Beijing dengan memandu SUV mewah menimbulkan perdebatan di China. FOTO Weibo
Agensi

BEIJING: Sekeping gambar menunjukkan dua wanita dibenarkan memasuki Forbidden City Beijing dengan memandu SUV mewah menimbulkan perdebatan di China.

Ia berikutan larangan kenderaan memasuki kawasan pelancongan itu sejak 2013 dan gambar itu menimbulkan persoalan ramai bagaimana dua wanita itu dipercayai salah seorang pegawai kanan dibenarkan membawa kenderaan ke kawasan itu.

South China Morning Post melaporkan, orang ramai bimbang tindakan itu merosakkan Tapak Warisan Dunia berusia 600 tahun bermula dari Dinasti Ming.

Ia juga memperkukuhkan persepsi orang ramai sesetengah orang diberi keistimewaan berbanding rakyat biasa kerana mempunyai hubungan dengan pihak tertentu.

Gambar berkenaan menunjukkan mereka berdiri di sebelah Mercedes-Benz G-Wagen yang dimuat naik di Weibo pada Jumaat lalu menggunakan nama ‘LuxiaobaoLL’.

Wanita itu menggunakan kapsyen “ia ditutup pada Isnin bagi mengelak pelancong dan nikmati kawasan istana ini.”

Hantaran itu tersebar luas dan menarik ribuan kecaman daripada orang ramai.

Pada Jumaat, Muzium Istana melalui satu kenyataan di Weibo mengakui kenderaan dibenarkan memasuki Forbidden City pada Isnin.

“Kami berasa sangat tertekan dan meminta maaf kepada orang ramai. Kami akan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 7:45 AM