Ambulans dan polis dipanggil ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang remaja lelaki bertindak luar jangka apabila menikam rakan sekolahnya menggunakan gunting ketika latihan kebakaran dijalankan di Sekolah Antarabangsa Stantonbury di Milton Keynes, di barat laut London, semalam.

Remaja berusia 15 tahun itu menikam belakang badan mangsa sehingga menyebabkan suasana di sekolah berkenaan bertukar kecoh.

Daily Mail melaporkan, kejadian itu diketahui selepas beberapa pelajar menghubungi ibu bapa mereka kerana berada dalam keadaan takut.

Sekolah berkenaan dalam kenyataan memaklumkan, pelajar lain yang menyertai latihan kebakaran itu

selamat dan sudah diminta ke kelas masing-masing untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Jurucakap polis Thames Valley berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada sekolah berkenaan jam 10.55 pagi dan suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Suspek kini ditahan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian. Pegawai polis juga sudah dihantar ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak sekolah," katanya.

Mangsa mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Milton Keynes untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 12:22 PM