PENGARAH Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Cina Gao Fu bercakap semasa sidang akhbar di Pejabat Penerangan Majlis Negeri di Beijing. FOTO AFP
AFP

Shanghai: Pasar yang menjadi tempat pertama dikesan dengan koronavirus di Wuhan disifatkan umpama ‘pusat lambakan’ haiwan eksotik daripada anak serigala sehinggalah musang, menurut laporan media China.

Huanan Seafood Market yang terletak di tengah bandar Wuhan itu menjadi perhatian selepas pegawai kerajaan China memaklumkan virus yang menyebabkan kematian sembilan mangsa itu mungkin berpunca daripada haiwan liar yang dijual di pasar berkenaan.

Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang pernah berlaku sebelum ini dikaitkan dengan pengambilan daging musang menyebabkan pihak berkuasa China kini mungkin berdepan satu lagi episod memalukan sekiranya penyeludupan haiwan liar masih lagi berleluasa.

Berdasarkan senarai harga yang disebarkan di Internet, pasar berkenaan menawarkan pelbagai haiwan dan produk berasaskan haiwan eksotik antaranya serigala yang masih hidup, anak serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak serta unta dengan jumlah keseluruhan 112 jenis.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit China, Gao Fu berkata, pihak berkuasa percaya virus berkenaan berpunca daripada ‘haiwan liar yang dijual di pasar berkenaan’ namun, masih belum mengenalpasti sumbernya.

Masih banyak spesis eksotik dijadikan hidangan di China atau negara Asia di mana ia dianggap sebagai makanan istimewa atau mempunyai manfaat kesihatan walaupun tidak dibuktikan dengan sains.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 7:32 PM